Ziarah Kebajikan ke Semenyih: Penyerahan Bantuan Asas kepada Pertubuhan OKU
Alhamdulillah, pada hari ini pihak Yayasan Bushra telah berkesempatan meluangkan masa ke Semenyih bagi menyampaikan barangan bantuan asas kepada pihak Pertubuhan Kebajikan OKU As-Syakirin. Bantuan ini disalurkan susulan permohonan yang telah dikemukakan oleh pihak pertubuhan baru-baru ini, bagi menampung keperluan harian penghuni OKU di sana.
Lawatan ini bukan sekadar penyerahan sumbangan, bahkan menjadi ruang untuk pihak yayasan melihat sendiri keadaan dan keperluan semasa penghuni. Kami dimaklumkan bahawa anggaran kos perbelanjaan bulanan bagi menanggung keperluan asas penghuni mencecah sekitar RM14,000 sebulan. Jumlah ini merangkumi makanan, barangan keperluan harian, penjagaan kesihatan serta pengurusan premis.
Walaupun pada masa ini Yayasan Bushra belum dapat memenuhi keseluruhan keperluan seperti yang dimohon, kami tetap berusaha menyalurkan bantuan semampu yang boleh sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap usaha murni yang dilaksanakan oleh pihak pertubuhan. Kami percaya, setiap sumbangan walau sekecil mana sekalipun, tetap membawa makna besar buat mereka yang memerlukan.
Insya-Allah, pada masa akan datang akan ada ruang dan peluang untuk pihak YB dan pertubuhan ini menjalinkan kerjasama yang lebih erat dan intensif demi kebajikan penghuni OKU. Semoga usaha yang kecil ini menjadi titik permulaan kepada sokongan yang lebih menyeluruh daripada pelbagai pihak.
Pihak Yayasan Bushra amat mengalu-alukan orang ramai yang ingin bersama-sama menyumbang dan menyokong usaha kebajikan ini. Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:
YAYASAN BUSHRA
5624 6932 2440 (MAYBANK)
Ruj: Kebajikan
Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal soleh yang berpanjangan dan diberi ganjaran sebaik-baiknya oleh Allah SWT.



