“YB Mall” Meriahkan Pejabat dengan Senyuman Asnaf
Semalam, suasana di pejabat Yayasan Bushra bertukar wajah seketika. Jika kebiasaannya ruang pejabat menjadi tempat urusan kebajikan dan perbincangan program, kali ini ia berubah menjadi sebuah “pusat membeli-belah” kecil yang penuh warna-warni dan gelak tawa. Kami secara santai menamakannya sebagai “YB Mall”.
Program ini diadakan khas untuk para asnaf di bawah pengurusan Yayasan Bushra, hasil sumbangan pakaian raya daripada para penyumbang yang budiman. Alhamdulillah, jumlah pakaian yang diterima amat memberangsangkan. Lebih menggembirakan, kebanyakan pakaian yang disumbangkan berada dalam keadaan sangat baik, malah telah siap dibasuh dan harum mewangi. Pihak kami telah membuat pengasingan mengikut kategori serta menyusun dengan kemas agar memudahkan para penerima memilih dengan selesa.
Yang hadir bukan sahaja golongan ibu atau warga emas, bahkan anak-anak turut memeriahkan suasana. Antara yang dijemput ialah para pelajar di bawah Program Celik al-Quran Asnaf yang berpusat di Bukit Tinggi, Klang. Mereka diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian raya mengikut citarasa masing-masing. Wajah-wajah kecil yang ceria, senyuman yang tidak lekang, serta keterujaan memilih baju benar-benar menyentuh hati kami sebagai penganjur.

Malah, terdapat juga penerima bantuan pek iftar yang kebetulan hadir dan merupakan asnaf di bawah jagaan kami, turut kami pelawa masuk ke “YB Mall” untuk memilih pakaian yang berkenan. Alhamdulillah, peluang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka.
Bagi pihak yayasan, pengalaman melayani kerenah dan kegembiraan para penerima amat bermakna. Ia bukan sekadar tentang memberi pakaian, tetapi tentang memuliakan mereka dengan peluang memilih sendiri, merasai suasana ‘membeli-belah’, dan menyambut Aidilfitri dengan lebih bermaruah dan penuh keyakinan.
“YB Mall” ini akan diteruskan sehingga stok pakaian yang ada habis diagihkan. Sekiranya tuan puan mengenali mana-mana individu atau keluarga yang memerlukan pakaian raya, pihak kami amat mengalu-alukan untuk menghubungi pejabat Yayasan Bushra dan hadir memilih sendiri pakaian yang tersedia.
Semoga setiap helai pakaian yang disumbangkan menjadi asbab kegembiraan sebuah keluarga dan menjadi amal jariah yang berpanjangan buat para penyumbang. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang berterusan. Bersama kita menyantuni asnaf dengan penuh kasih dan ihsan.

