Tafsir Surah Ali Imran Ayat 117 – “…Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya...
Ali Imran Ayat 117: Mereka sesat dengan mengorbankan harta mereka untuk menentang Islam. Infaq mereka itu akan memberi musibah kepada mereka.
مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
“Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
“Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini.”
Dalam kitab tafsir disebut infaq dalam ayat ini adalah apabila orang bawahan bayar kepada orang atasan iaitu anak murid bayar kepada guru ulama’ su’ mereka. Sebagai contoh, kalau dalam kumpulan tarekat, anak-anak murid akan beri banyak duit kepada guru mereka kerana mengharapkan guru mereka itu akan menyelamatkan mereka. Memang begitulah keadaan kalau ajaran sesat. Kita boleh lihat ada guru-guru tarekat kaya raya tapi anak murid miskin sahaja. Ini kerana proses pengambilan duit dari anak murid. Anak murid punyalah berkhidmat dengan tok guru mereka tapi amalan yang diajar adalah ajaran sesat.
Kalau dalam ajaran Syiah pula, pengikut kena bayar 1/5 dari pendapatan mereka kepada ketua agama mereka. Ini dipanggil ‘khumus’. Khumus memang ada dalam Islam tapi tidaklah seperti yang mereka pesongkan. Begitulah kalau anak murid yang jahil, mereka terus terima sahaja ajaran tok guru yang sesat. Mereka sendiri yang akan rugi.
Atau ia juga boleh dikatakan tentang Musyrikin Mekah yang mengumpul duit untuk menyerang kembali umat Islam selepas mereka kalah di Badr. Mereka ramai-ramai mengumpul duit keuntungan mereka tahun itu untuk membiayai peperangan menentang umat Islam di Madinah. Mereka infaq tetapi infaq itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Jadi, ini mengajar kita bahawa infaq yang diterima hanyalah infaq dalam perkara yang baik. Kita pun selalu keluarkan duit juga, tetapi persoalannya, ke manakah kita infaq duit kita itu? Adakah ke tempat hiburan? Buat majlis bid’ah? Itu semua tidak akan memberi pulangan baik kepada diri kita.
كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ
“samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;”
Seperti angin yang sangat kuat, di dalamnya ada udara yang sangat sejuk. Angin dan udara itu sampai membinasakan tanaman. Apabila air di dalam sel tumbuhan membeku, ia akan mengembang. Pengembangan ini memecahkan dinding sel, seterusnya membunuh sel tanaman itu. Itulah sebabnya tumbuhan mati dalam suhu rendah. Kerosakan tisu yang terhasil daripada proses ini dikenali sebagai “kerosakan frost”. Petani di kawasan di mana kerosakan fros diketahui menjejaskan tanaman mereka selalunya akan melabur menggunakan modal yang besar untuk melindungi tanaman mereka daripada kerosakan tersebut.
Ini diketahui baru-baru ini melalui ilmu botani moden, namun ia telah digambarkan dalam Al-Qur’an 1,400 tahun sebelum ia ditemui. Ini membuktikan yang Al-Qur’an adalah kalamullah dan mukjizat. Ia tidak mungkin diketahui oleh Nabi Muhammad (atau sesiapa sahaja pada zaman itu) yang pastinya tidak ada maklumat ini.
Lafaz حَرْثَ bermaksud tanaman yang sudah sedia untuk dituai. Kalau tanaman yang sudah boleh dituai, tentunya amat bernilai sekali, dan tuan punya tanaman itu mengharapkan kepada tuaian itu. Namun ia dibinasakan. Maka amatlah malang sekali. Bayangkan perasaan tuan tanaman itu apabila melihat tanaman yang dijaganya setelah sekian lama, dibaja, dipelihara, tetapi musnah begitu sahaja.
Sudah tentu dia sedih. Dia akan lebih menyesal lagi apabila melihat bagaimana infaqnya yang diberi kepada tempat yang tidak patut, akan menjadi sia-sia sahaja. Begitulah nanti perasaan orang-orang sesat apabila melihat ‘hasil’ dari infaq mereka yang salah itu.
وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
“Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.”
Bukanlah Allah ﷻ zalim tetapi mereka dikenakan dengan balasan itu kerana mereka mengabaikan arahan Allah ﷻ. Kita kena ingat yang Allah ﷻ tidak pernah zalim. Segala perbuatan Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.
Sumber: Celik Tafsir