Sumbangan Duit Poket Kepada Mahasiswa UKM
Bangi, Selangor – Dalam dunia mahasiswa, cabaran bukan sekadar pada tugasan dan peperiksaan, tetapi juga pada soal kewangan harian yang sering menjadi beban tersembunyi. Menyedari hakikat ini, wakil Yayasan Bushra (YB) telah mengadakan kunjungan mesra ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini untuk menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar yang memohon bantuan kewangan bagi meringankan beban sara hidupnya sebagai penuntut sepenuh masa.
Pelajar tersebut, yang kini mengikuti pengajian di salah satu fakulti utama UKM, bergantung sepenuhnya kepada ibunya yang berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan sebagai seorang tukang jahit. Jumlah ini bukan sahaja mencabar untuk menampung keperluan asas keluarga, malah terlalu sempit untuk menanggung perbelanjaan bulanan anak yang sedang menuntut ilmu di menara gading.
Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral, YB telah menyampaikan sumbangan duit poket sebanyak RM100 setiap bulan untuk tempoh enam bulan. Walaupun nilai ini tampak kecil, ia diharap dapat memberi kelegaan dan ruang kepada pelajar tersebut untuk terus memberi fokus kepada pengajiannya tanpa perlu terlalu bimbang soal kewangan dan ini yang termampu diberikan buat setakat ini.
YB percaya bahawa pelaburan terbaik adalah pada ilmu dan pendidikan. Selari dengan moto “Pemangkin Pembangunan Ummah”, bantuan ini mencerminkan komitmen YB dalam menyokong pelajar yang berpotensi tinggi tetapi berhadapan kekangan ekonomi.
Dalam pesanan ringkas yang disampaikan semasa kunjungan, Encik Mohd Azrul bin Razak selaku Pengarah Kewangan & Pentadbiran YB mewakili lawatan ini menyatakan harapan agar pelajar ini terus cekal, rajin dan tidak berputus asa. YB sentiasa membuka ruang kerjasama dengan institusi pendidikan mahu pun secara individu bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat sokongan yang mereka perlukan. Semoga bantuan ini menjadi inspirasi untuk lebih ramai tampil membantu, dan satu hari nanti, pelajar ini pula akan menjadi penyumbang kepada agama, masyarakat dan negara, insya Allah.



