Pemangkin Pembangunan Masyarakat
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae

Putaran Kehidupan: Dari Membantu Kepada Dibantu

Kadang kita berada di atas, dan kadang kita berada di bawah. Ada waktu kita menjadi tangan yang memberi, dan ada ketika kita pula diuji untuk menerima bantuan. Begitulah hakikat kehidupan yang penuh dengan putaran takdir, yang sentiasa mengingatkan kita bahawa setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain.

Itulah antara pengajaran yang kami peroleh daripada aktiviti ziarah yang telah dijalankan oleh pasukan kebajikan Yayasan Bushra baru-baru ini. Ziarah tersebut membawa kami bertemu dengan Encik Arif, seorang bekas staf Yayasan Bushra yang suatu ketika dahulu pernah bersama-sama menggerakkan usaha kebajikan membantu golongan yang memerlukan.

Walaupun tempoh perkhidmatan beliau bersama Yayasan Bushra tidak lama, sumbangan dan komitmen beliau dalam kerja-kerja kebajikan tetap meninggalkan kesan. Dahulu, beliau dengan YB menyampaikan bantuan kepada para asnaf dan mereka yang dalam kesusahan. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya. Kali ini, beliau sendiri diuji dengan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Encik Arif kini sedang berdepan dengan masalah kesihatan yang melibatkan buah pinggang. Keadaan ini telah menyebabkan beliau terpaksa menghentikan pekerjaan di tempat kerja baharunya, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan keluarga. Dalam masa yang sama, beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, dengan isteri yang baru sahaja melahirkan anak dan masih dalam tempoh berpantang, serta anak-anak yang memerlukan perhatian dan nafkah.

Ziarah ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi merupakan satu amanah yang kami pikul hasil daripada sumbangan orang ramai. Setiap bantuan yang disampaikan adalah simbol keprihatinan masyarakat yang tidak pernah putus dalam membantu mereka yang sedang diuji.

Pertemuan ini juga menjadi peringatan yang sangat bermakna buat kami semua. Kehidupan ini tidak pernah statik. Hari ini kita mungkin mampu memberi, tetapi esok kita juga mungkin memerlukan sokongan daripada orang lain. Justeru, semangat saling membantu dan mengambil berat sesama insan perlu sentiasa dipupuk dalam diri setiap daripada kita.

Kami di Yayasan Bushra mendoakan agar Encik Arif diberikan kesembuhan, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Semoga segala urusan beliau dan keluarga dipermudahkan, serta diberikan jalan keluar yang terbaik oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.

Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menyumbang, walau dalam apa jua keadaan, kerana setiap kebaikan yang kita hulurkan hari ini, mungkin akan kembali kepada kita pada saat kita paling memerlukannya.

Logo YB 2025 - White-17

YAYASAN BUSHRA (1350331-V)
No. 12-2, Jalan Lengkuas D16/D, Taman Ken Rimba, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor.

+603-5523 2832
+6013-969 7944

yayasanbushra2020@gmail.com
yb@yayasanbushra.com

Copyright ©2023 Yayasan Bushra (1350331-V). All Rights Reserved. Developed & Maintained by Mytranspro.