Puan Amirjan Binti Said Ali, Rombongan Dari Singapura
7 Julai 2024, Ahad – Kami panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى atas kurnian-Nya kepada kami untuk menerima kunjungan dari satu rombongan dari negara jiran, Singapura. Rombongan yang diketuai oleh Puan Amirjan Binti Said Ali, suami serta rakan mereka sudah maklum lebih kurang berkenaan dengan Yayasan Bushra sebelum ini, cuma mereka belum lagi direzekikan untuk melawat pejabat Yayasan Bushra kerana faktor jarak dan masa. Alhamdulillah, Allah kurniakan peluang ini pada 7 Julai 2024 lalu.

Keberadaan mereka di Malaysia adalah juga atas faktor jemputan sebuah walimatulurus di Selangor, juga kenalan Tuan Adi Negara Bin Kamarudin selaku Pengerusi Eksekutif Yayasan Bushra. Dikesempatan ini, mereka mengambil keputusan untuk mengenali Yayasan Bushra dengan lebih mendalam, terutamanya berkenaan dasar-dasar yang menjadi asas kepada pergerakan kami dalam melaksanakan program dan aktiviti.
Kunjugan mereka bermula pada awal pagi Ahad lebih kurang 8:30 pagi di pejabat Yayasan Bushra. Hampir 3 jam diperuntukkan bagi menerangkan kepada mereka mengenai 2 Dasar Utama dan 3 Dasar Sokongan Yayasan Bushra. Antara yang menarik perhatian mereka adalah bagaimana Yayasan Bushra menerima kelayakan untuk menerima pengecualian cukai yang telah diberikan pada November tahun lalu. Melalui pengecualian cukai ini sebenarnya telah banyak membantu kami untuk terus melaksanakan pelbagai program-program penting antaranya Program Iftar dan Agihan Bantuan Raya bagi tahun ini pada April lalu. Selepas dari pembentangan ini, kami membawa rombongan Singapura ini melawat tanah Yayasan Busra yang terletak di Banting.
Mereka amat tertarik dengan konsep yang diketengahkan dalam membangunkan sebidang tanah milik Yayasan Bushra seluas 3.4 ekar di Olak Lempit, Banting, Selangor. Dari inisiatif ini, dapat kami simpulkan yang mana idea ini bakal menyediakan satu Kompleks Serbaguna dan taman perumahan bukan semata-mata untuk membantu para asnaf serta orang awam lain dari sudut keperlukan tempat tinggal dan bebas riba, juga disediakan untuk mereka pengisian untuk ‘makanan’ hati, insya Allah.
Alhamduilillah, kami sangat bersyukur dan berbesar hati dengan lawatan rombongan dari Singapura ini kerana paling tidak kami tahu bahawa Yayasan Bushra telah mula menembusi pasaran di negara Singapura. Yayasan Busrah turut menerima sumbangan dari hasil kutipan Puan Amirjan bersama kenalannya di Singapura. Melalui pendedahan ini, kami yakin akan lebih ramai insan yang akan bersama kami dalam memangkin pembangunan ummah bukan hanya dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, malah diseluruh dunia, mudah-mudahan, insya Allah.