Projek Tanaman Keladi & Keledek: Usaha Strategik Yayasan Bushra ke Arah Pembangunan Kompleks
Alhamdulillah, usaha Yayasan Bushra (YB) dalam menguruskan tanah milik yayasan terus membuahkan hasil melalui pelaksanaan projek tanaman keladi dan keledek yang telah bermula baru-baru ini. Projek ini dilaksanakan sebagai langkah strategik dalam memanfaatkan tanah sementara menunggu kelulusan rasmi permohonan penukaran status taraf tanah daripada pertanian, yang telah diajukan beberapa bulan lalu. Insya-Allah, dengan izin-Nya, segala urusan ini akan dipermudahkan.
Matlamat utama projek tanaman ini bukan sahaja untuk memanfaatkan tanah yang ada, tetapi juga sebagai sebahagian daripada usaha YB dalam mengumpulkan dana untuk pembangunan Kompleks Yayasan Bushra pada masa hadapan. Kompleks ini dirancang sebagai pusat tumpuan pelbagai aktiviti kebajikan utamanya dan pembangunan ummah. Justeru, setiap inisiatif yang dijalankan ketika ini merupakan sebahagian daripada langkah ke arah mencapai visi besar tersebut.
Baru-baru ini, pihak YB berkesempatan meninjau perkembangan projek tanaman keladi di kawasan tanah yayasan di Olak Lempit. Alhamdulillah, hasilnya amat memberangsangkan. Tanaman yang telah dimulakan beberapa minggu lalu kini mula menampakkan pertumbuhan yang positif. Anak-anak pokok keladi yang ditanam sudah mula mengeluarkan daun kedua, menandakan proses tumbesarannya berjalan dengan baik. Tanda-tanda awal ini memberikan keyakinan bahawa projek ini mampu mencapai hasil yang diharapkan.

Lebih menarik, projek ini diuruskan oleh individu yang berpengalaman luas dalam bidang pertanian. Dedikasi dan kesungguhan beliau menjadi faktor penting yang menjamin kelancaran projek ini. Malah, bagi memastikan tanaman dapat bertahan dalam apa jua keadaan cuaca, sebuah perigi telah digali di kawasan tanah tersebut. Sumber air ini akan menjadi bekalan penting, khususnya ketika musim panas, memandangkan tanaman keladi memerlukan air yang banyak untuk terus subur.
Selain memberi manfaat kepada YB dalam menguruskan dana, projek ini juga membuka peluang kerjasama antara pihak yayasan dan tenaga luar yang terlibat dalam sektor pertanian. Ia menunjukkan bahawa kebajikan dan pembangunan ummah tidak hanya terbatas kepada bantuan kewangan atau program sosial semata-mata, tetapi juga merangkumi inisiatif ekonomi yang mampan.
Yayasan Bushra yakin bahawa setiap usaha kecil yang dilakukan pada hari ini akan membawa kepada hasil yang besar pada masa depan, insya Allah. Tanah yang dimanfaatkan dengan sebaiknya bukan sahaja mengelakkan pembaziran, tetapi juga menjadi bukti kesungguhan yayasan dalam merangka strategi jangka panjang demi kesejahteraan ummah.
Semoga projek tanaman ini terus dipermudahkan Allah dan menjadi salah satu sebab kepada terbinanya Kompleks Yayasan Bushra kelak. Insya-Allah, setiap titisan peluh dan usaha yang dicurahkan akan menjadi amal jariah yang berkekalan manfaatnya.

