Program Sumbangan Hari Raya Pelajar Asnaf & Anak Yatim Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Jazakumullahu Khairan kepada Pihak UMPSA dan Persatuan Teknologi Komputer – PETAKOM
Baru-baru ini, Yayasan Bushra (YB) dengan penuh rasa syukur dan penghargaan mengucapkan Jazakumullahu Khairan kepada pihak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Fakulti Teknologi Komputer serta Persatuan Mahasiswa Teknologi Komputer (PETAKOM) atas jemputan ke dalam Program Sumbangan Hari Raya yang disertai oleh para pelajar asnaf dan anak-anak yatim Fakulti Teknologi Komputeran. Program ini bukan sahaja mempereratkan hubungan antara pihak universiti, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti, tetapi juga memberi peluang untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dalam usaha meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan golongan yang memerlukan, terutamanya anak-anak yatim dan pelajar-pelajar asnaf di peringkat pendidikan tinggi.
Bagi pihak Yayasan Bushra, En. Mohd Azrul Bin Razak, Pengarah Kewangan dan Pentadbiran, telah berkesempatan hadir bagi mewakili pihak yayasan dalam majlis ini. Kehadiran beliau di majlis tersebut bukan sahaja untuk memenuhi jemputan, tetapi juga untuk memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama yang telah terjalin antara Yayasan Bushra dan UMPPA melalui sumbangan dana, di samping merayakan semangat kebersamaan dalam masyarakat. Selain daripada YB, beberapa organisasi lain juga turut dijemput untuk memeriahkan majlis ini. Antaranya adalah Yayasan Pahang, Rainbow Girl, Yayasan Perkasa Siswa, Yayasan Taqwa-MAIWP, dan banyak lagi.
Program ini adalah salah satu inisiatif yang baik untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan institusi pendidikan tinggi dan badan-badan bukan kerajaan. Selain memberikan sambutan Hari Raya kepada pelajar asnaf dan anak yatim, acara ini juga menjadi platform untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat sekeliling. Di samping itu, kerjasama seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha memastikan golongan yang kurang berkemampuan terus mendapat sokongan dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam bidang pendidikan.
Yayasan Bushra amat berharap agar kerjasama ini akan terus berkembang dan memberikan impak yang besar kepada pembangunan ummah, khususnya dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan pelajar asnaf dan anak-anak yatim terus dijaga. Dengan niat dan harapan yang tinggi, kami berdoa semoga segala usaha ini diberkati dan memberi manfaat yang berpanjangan, insya Allah.
Semoga program ini bukan sahaja menjadi kenangan manis, tetapi juga membuka ruang untuk lebih banyak kolaborasi yang bermanfaat di masa hadapan. Dalam semangat Hari Raya, kami di Yayasan Bushra ingin menyampaikan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga segala usaha yang dilakukan dapat memperkaya kehidupan mereka yang memerlukan, serta memberi manfaat yang besar kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kami mengucapkan ribuan terima kasih dan berharap agar segala kerjasama ini dapat terus berkembang demi kebaikan ummah yang lebih luas.
Yayasan Bushra – Memangkin Pembangunan Ummah.