Mesyuarat Bersama Ahli Lembaga Pengarah (ALP) YB: Langkah Memantapkan Gerak Kerja Menuju Masa Depan
Alhamdulillah, baru-baru ini telah berlangsung satu mesyuarat penting melibatkan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Bushra (YB), bersama beberapa pegawai kanan dalam pentadbiran dan pengurusan. Mesyuarat ini merupakan antara usaha strategik YB untuk terus bergerak ke hadapan dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap kerja-kerja kebajikan dan pembangunan ummah.
Dalam suasana mesyuarat yang berlangsung penuh semangat dan iltizam, beberapa perkara utama telah dibincangkan secara tuntas bagi memastikan segala usaha YB terus relevan, tersusun dan berkesan dalam jangka masa pendek dan panjang.
Salah satu perkara utama yang diketengahkan dalam perbincangan ini ialah cadangan penstrukturan semula bahagian operasi dan pemasaran. Langkah ini dilihat penting untuk menyesuaikan organisasi dengan keperluan semasa, khususnya dalam mendepani cabaran dunia digital dan teknologi yang semakin berkembang. Bahagian operasi akan diperkemaskan agar segala bentuk bantuan dan program YB dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien. Manakala bahagian pemasaran pula akan diberi suntikan baharu dalam pendekatan dan strategi bagi memperluaskan capaian, membina jaringan kerjasama dan mengukuhkan jenama YB di mata masyarakat umum.
Sebagai sebuah yayasan yang menjadikan kerja kebajikan sebagai teras utama, fokus turut diberikan terhadap bagaimana YB dapat mempertingkatkan lagi bantuan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan. Ini termasuk perluasan skop penerima manfaat, penambahan bentuk bantuan, serta pemantapan sistem pemantauan agihan sumbangan agar lebih telus dan menyeluruh.
YB juga sedang merangka pelan untuk memperkenalkan program-program kebajikan berimpak tinggi, termasuk intervensi jangka panjang yang mampu mengubah kehidupan golongan asnaf dan rentan ke arah yang lebih baik – sejajar dengan slogan YB: Pemangkin Pembangunan Ummah.
YB dengan rendah hati memohon doa dan sokongan berterusan daripada seluruh masyarakat, khususnya para penyumbang, rakan strategik dan para relawan. Kami percaya bahawa kejayaan sesuatu usaha bukan hanya bergantung kepada perancangan dan pelaksanaan, tetapi juga kepada keberkatan dan doa yang tidak putus-putus dari insan yang menyokong perjuangan ini.
Masih banyak ruang dan potensi yang boleh diterokai untuk menggapai visi dan misi YB. Kami yakin, dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, YB akan terus maju dan menjadi sebuah institusi yang memberi impak besar kepada masyarakat, insya-Allah.
“Pemangkin Pembangunan Ummah” – bukan sekadar slogan, tetapi iltizam kami untuk terus berbakti.



