Kunjungan Mesra YB ke Pertubuhan Al Hadid OKU Ampang: Sokongan Padu Kepada Komuniti OKU
Ampang, Selangor – Dalam usaha berterusan memperkasakan komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini, Yayasan Bushra (YB) telah berkesempatan mengadakan kunjungan mesra ke Pertubuhan Kebajikan Al Hadid OKU Ampang, Selangor — sebuah organisasi kebajikan yang aktif memperjuangkan hak dan kebajikan golongan OKU.
Kunjungan yang berlangsung baru-baru ini menjadi platform penting bagi YB menyatakan sokongan terhadap perjuangan murni ini dengan menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada pihak pertubuhan. Sumbangan ini merupakan satu bentuk dorongan agar usaha-usaha pembangunan dan kebajikan OKU dapat diteruskan secara berkesan dan berterusan.
Dalam sesi pertemuan tersebut, YB yang diwakili oleh Encik Mohd Azrul bin Razak, Pengarah Kewangan & Pentdabiran YB turut beramah mesra dengan pengasas pertubuhan, En. Halmi dan berkongsi pandangan mengenai cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti OKU hari ini. Antara isu yang disentuh termasuklah keperluan kepada akses pendidikan yang lebih inklusif, peluang latihan kemahiran dan pekerjaan, serta kemudahan awam yang lebih mesra OKU, malah tidak juga dilupakan keperluan seperti peralatan di rumah kebajikan itu sendiri.
Pihak Al Hadid menyambut baik kehadiran YB dan menyatakan bahawa sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan dalam program pembangunan sahsiah dan sokongan harian yang memberi kesan terus kepada penghuni pertubuhan.
YB turut menyerahkan cenderahati istimewa YB sebagai tanda penghargaan dan simbolik jalinan kerjasama masa depan. YB percaya bahawa lawatan ini adalah titik mula kepada lebih banyak jaringan strategik demi memperkukuh peranan NGO dalam membela komuniti OKU. Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih inklusif dan sejahtera buat semua, insya Allah, barakallahufik.






