Khurafat & Subhah Dalam Urusan Kematian
Dalam urusan kematian, bermula sebelum seseorang menghembuskan nafas terakhir sehinggalah selepas pengebumian, terdapat banyak ruang yang sering dipenuhi dengan perkara-perkara syubhah, bidaah dan khurafat jika tidak ditangani berlandaskan ilmu dan sunnah.
Ketika seseorang berada dalam keadaan sakit sebelum meninggal dunia, masih wujud amalan rawatan yang bercampur dengan unsur batil seperti penggunaan tangkal, jampi atau amalan yang tidak bersumberkan syariat. Selepas kematian pula, sebelum jenazah dikebumikan, terdapat pelbagai adat setempat yang diamalkan tanpa sandaran agama.
Antaranya ialah meletakkan objek tertentu di atas jenazah seperti gunting, besi atau barang lain dengan kepercayaan ia dapat mengelakkan jenazah “mengembang” atau menghindari gangguan makhluk halus. Ada juga amalan menutup cermin kononnya untuk mengelakkan roh terperangkap, membakar kemenyan untuk “roh”, melarang kucing lalu di bawah keranda, atau menyuruh waris melangkah jenazah — semuanya tidak mempunyai asas dalam syariat Islam.
Ketika proses pengebumian pula, terdapat amalan meletakkan kunyit, garam, buah kelapa muda di kubur, memasukkan al-Quran ke dalam liang lahad, meminta cebisan kain kafan untuk diikat di tangan waris, atau mengambil air mandian jenazah untuk dimandikan kepada ahli keluarga. Semua ini merupakan amalan yang tidak diajar dalam agama dan termasuk dalam khurafat yang perlu dijauhi.
Selepas pengebumian, amalan seperti talkin dan kenduri arwah juga sering dilakukan walaupun ia tidak bersumberkan sunnah Nabi ﷺ dan termasuk dalam bidaah yang tercela menurut pandangan para ulama.
Hakikatnya, hampir setiap fasa dalam pengurusan jenazah boleh terdedah kepada amalan bidaah dan khurafat jika tidak dipandu oleh ilmu yang sahih. Oleh itu, amat penting agar urusan jenazah dikendalikan oleh individu atau pasukan yang memahami dan berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah ﷺ.
Keperluan untuk melahirkan pasukan pengurusan jenazah berteraskan sunnah di setiap kawasan amatlah besar. Usaha ini bukan sahaja dapat menjaga kesucian amalan agama, malah melindungi masyarakat daripada terjebak dengan kepercayaan yang menyimpang. Semoga wujud lebih banyak inisiatif dan kerjasama bagi menghidupkan pengurusan jenazah yang selari dengan ajaran Islam yang sebenar.
Wallahu a‘lam.

