Majlis Agihan Pek Bantuan Hari Raya 2026

Syukur alhamdulillah kami panjatkan kepada Allah Subhanahu wa ta'ala atas kurniaan-Nya kepada kami bagi menjayakan Majlis Agihan Pek Bantuan Hari Raya untuk tahun 2026 pada 15 Mac 2026, Ahad. Majlis berjalan dengan lancar, pek bantuan raya yang mengandungi keperluan asas untuk para asnaf manfaatkan di pagi raya pertama nanti selamat diagihkan. Ada juga orang ramai amanahkan kami untuk agihkan beras zakat. Walaupun macam-macam cabaran yang dihadapi, Allah permudahkan semuanya dan dapat juga tahun ini YB sediakan sedikit duit raya untuk mereka yang hadir, alhamdulillah. Semoga ada ruang dan peluang untuk semua yang terlibat untuk sekali lagi kita ulang kenangan ini pada tahun 2027 nanti, insya Allah. Doakan kami ya.
Barakallahu fiik.

Program Ibadah Korban 2025

YB panjatkan syukur kepada Allah Subhanahuwa ta'ala atas peluang untuk kami sekali lagi menganjurkan Program Ibadah Korban bagi tahun 1446H/2025 ini. Bukan sekadar peluang namun kemudahan dan kesihatan bagi melaksanakan amanah yang telah diberikan. Pertama sekali, kami ucapkan jazakumullahu khairan kepada petugas program yang telah bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran program pada Ahad lalu. Walaupun berlaku kelewatan, Allah tetap permudahkan urusan-urusan kami. Tidak kami lupakan kepada para peserta yang telah memberi kepercayaan kepada YB untuk sekali lagi menguruskan program ini dan bersabar dengan setiap cabaran yang menduga. Moga Allah memberkati kalian semua.
Kami mengambil kesempatan ini juga untuk memohon kemaafan atas kekhilafan dan kekurangan yang telah berlaku sepanjang proses ibadah korban ini dan doakan kami untuk terus perbaiki segala kekurangan yang ada pada masa akan datang.

Kasih & Harapan - Hi-tea Bersama Yayasan Bushra

Pada 25 Mei 2025 lalu, YB telah menganjurkan sebuah program Kasih & Harapan High-Tea Bersama Yayasan Bushra di Shah Alam. Program ini merupakan salah satu isyarat penghargaan YB kepada para penyumbang yang telah mendokong serta menyokong kami sepanjang YB beroperasi. Alhamdulillah, semuanya dipermudah Allah Subhanahu wa ta'ala. Walaupun ada penyumbang yang tidak dapat hari atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, jazaakumullahu khairan kepada yang telah hadir memeriahkan majlis ini. Bertemakan Kasih & Harapan, majlis ini menjadi salah satu saksi kepada kesungguhan YB dalam memikul tanggungjawab memangkin pembangunan ummah. Harapan kami dari titik tolak ini, semoga visi dan misi YB dapat dicapai dengan usahasama seluruh pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak.
Kami mohon agar tuan puan semua teruskan percaya kepada kami dan insya Allah kami akan terus memikul amanah ini bagi membantu mereka diluar sana yang memerlukan bantuan.

Program Sumbangan Hari Raya Pelajar Asnaf & Anak Yatim UMPSA

Jazakumullahu khairan kepada pihak UMPSA Malaysia dan juga Persatuan Teknologi Komputer - Petakom, UMPSA atas jemputan ke program ini. Bagi mewakili YB, En. Mohd Azrul Bin Razak selaku Pengarah Kewangan & Pentadbiran telah menghadirkan diri ke UMPSA bagi memenuhi jemputan bahkan untuk mengeratkan lagi hubungan baik ini. Selain dari YB, beberapa organisasi lain juga telah dijemput bagi memeriahkan lagi majlis ini, antaranya Yayasan Pahang , Rainbow Girl , Yayasan Perkasa Siswa, Yayasan Taqwa MAIWP dan lain-lain. Diharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan tinggi harapan kami agar ianya memberi impak yang baik dan besar kepada pembangunan ummah, insya Allah.

Program Agihan Pek Bantuan & Duit Hari Raya 2025

Menjelang Hari Raya, YB akan menyediakan pek bantuan dan juga duit Raya untuk para asnaf yang menerima pek iftar. Begitu juga untuk tahun ini. Pek Bantuan Hari Raya mengandungi keperluas asas sebagai persedian Hari Raya seperti ketupat segera, kuih-muih Raya, kordial air minuman, serunding, beras dan lain-lain keperluan. Setiap pek bantuan bernilai RM100 untuk setiap keluarga dan semua ini merupakan sumbangan penuh dari mereka yang telah menyokong YB selama ini setiap tahun. Jazakumullahu khairan kami ucapkan.

Program Iftar Ramadan 2025

Program Iftar Ramadan merupakan program tahunan yang telah dilaksanakan oleh YB lebih dari 4 tahun. Bagi tahun 2025 ini, TB telah melibatkan lebih daripada 25 keluarga yang menerima pek bantuan iftar setiap hari untuk 26 hari sepanjang bulan Ramadan. Sebanyak 170 pek iftar diperuntukkan setiap hari dengan menu yang berubah-ubah. Manakala setiap hari Ahad pula YB menyediakan kuih-muih dan putu mayam bagi mempelbagaikan menu. YB panjatkan kesyukuran kepada Allah atas kelancaran program ini dan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang kekal bersama YB dalam merealisasikan program ini. Selain dari penerima dari sekitar pejabat YB dan beberapa kawasan di Selangor, YB turut bekerjasama dengan 2 wakil negeri yang lain iaitu Bushra Borneo Resources (BBR) serta Pusat Ihya Us-Sunnah (PIUS) dengan memberi dana untuk mereka sediakan pek iftar bagi kawasan masing-masing. Tinggi harapan YB untuk meneruskan program ini pada tahun akan datang dan insya Allah kami akan berusaha untuk meningkatkan jumlah penerima bantuan ini.

Bantuan Kepada Individu Sebatang Kara & Menghidapi Sakit Saraf

YB menerima permohanan bantuan dari seorang wanita yang diuji dengan keadaan kesihatannya yang kurang baik sehinggakan terpaksa berhenti kerja lebih kurang 4 bulan lalu. Beliau disahkan oleh doktor menghidapi penyakit yang berkaitan dengan saraf. Oleh yang demikian, akibat dari itu, beliau terpaksa berhenti kerja dan hanya menggunakan wang simpanannya dan YB difahamkan, simpanan tersebut telah pun habis. Selari dengan dasar utama YB, kami telah menziarahi beliau sebagai prosedur bagi membantu mereka yang memerlukan seperti beliau. Beliau tidak berkeluarga, hidup seorang diri tanpa ibu dan ayah yang telah meninggal dunia. Hanya mempunyai ibu angkat. Jadi, YB ambil keputusan untuk bantu beliau dengan menyerahkan sejumlah wang one-off dan berkala untuk beliau menguruskan hal-hal pemeriksaan kesihatannya di hospital. Selain dari itu juga, YB telah menghulurkan bantuan tongkat bagi memudahkan pergerakan beliau di rumah dan ke mana-mana sahaja.

Agihan Pek Bantuan Makanan Februari 2025 Oleh BBR

Alhamdulillah, Yayasan Bushra melalui wakil kami, Bushra Borneo Resources (BBR) yang diketuai oleh saudara Benhar, telah berjaya melaksanakan program bantuan asnaf di sekitar Lahad Datu, Sabah. Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dalam menyediakan makanan asas kepada golongan yang kurang berkemampuan. Yayasan Bushra telah salurkan bantuan dana kebajikan kepada BBR bagi menyediakan bantuan berupa beras, mee kering, tepung dan pelbagai keperluan makanan lain bagi meringankan beban mereka. Program ini dilaksanakan berkala setiap bulan dan diharapkan dapat memberikan manfaat yang berterusan kepada mereka yang memerlukan. Harapan kami, lebih ramai lagi yang akan menyumbang, dan lebih ramai yang akan menerima manfaat daripada bantuan ini. Semoga usaha ini mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata'ala dan memberi kebaikan kepada semua.

Sebarkan Salam & Berilah Makan : Bersama Meringankan Beban

Alhamdulillah, pada 30 November 2024 yang lalu, kami dari Yayasan Bushra bersama wakil YB, Bushra Borneo Resources yang diketuai oleh Encik Bhenhar selaku Pengurus Operasi, telah berpeluang mengadakan program Sebarkan Salam dan Berilah Makan di Lahad Datu, Sabah. Program ini bertujuan untuk membantu 15 keluarga fakir miskin di sana, memberikan sedikit kelegaan di musim yang penuh cabaran ini. Dengan bantuan yang diberikan, kami berharap dapat meringankan sedikit beban kehidupan mereka dan menghadirkan sedikit kebahagiaan dalam bentuk makanan yang mereka perlukan. Keprihatinan dan sokongan daripada para penyumbang sangat dihargai.

Lawatan Pasukan Dr. Nik: Menjalin Kerjasama Demi Kebajikan Masyarakat

Kami telah menerima kunjungan istimewa daripada wakil utama pasukan Dr. Nik, yang sebelum ini telah menunjukkan komitmen tinggi dalam bekerjasama dengan Yang Berhormat (YB) bagi menguruskan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi di negeri Kelantan pada tahun lalu. Kehadiran mereka bukan sahaja merupakan tanda penghargaan terhadap usaha yang telah dilaksanakan bersama, malah memberi gambaran positif tentang potensi kerjasama yang lebih erat di masa akan datang. Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pasukan Dr. Nik. Semoga kerjasama ini akan terus berkembang dan diberkati, insya-Allah. Kami menantikan lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat.

Program Mengaji Anak-Anak Cuti Sekolah: Menyuburkan Ilmu dan Iman

Alhamdulillah, program cuti sekolah anjuran Ihya Us-Sunnah Media dan YB mengambil peluang untuk menaja pek makanan sepanjang program. Anak-anak di bawah pengurusan PIUS berkesempatan untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Program ini bertujuan untuk memperkukuh asas membaca al-Quran, sekaligus membentuk generasi yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan. Terima kasih kepada para dermawan atas sokongan dan tajaan yang telah menjayakan program ini. Semoga ia memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi satu usaha yang diterima oleh Allah Subhanahuwa ta'ala.

Ziarah Mahabbah Bushra Borneo Resources di Lahad Datu, Sabah

Alhamdulillah, syukur YB panjatkan kepada Allah Subhanahu wa ta'ala atas peluang untuk bekerjasama dengan Bushra Borneo Resources (BBR) untuk program kebajikan ini. Program berlangsung di Masjid Muhaimin dengan bermula memindahkan barangan bantuan di jeti dan akan terus ke masjid. Semuanya dipermudahkan Allah dan kami sangat berterima kasih kepada pihak BBR atas kerjasama ini. Pada masa akan datang, diharap akan banyak lagi peluang untuk kerjasama untuk aktiviti kebajikan seperti ini. YB turut membuka ruang untuk sebarang kerjasama dengan organisasi lain yang sudi dan bersama dalam membangun ummah.

Sumbangan Kerusi Roda Usaha Perbaiki Rumah Mualaf

Suasana sesi ziarah YB ke rumah salah seorang asnaf yang kini pergerakannya adalah dengan bantuan kerusi roda, YB difahamkan yang laluan masuk dideretan rumah sewanya terlalu tinggi dan telah rosakkan sebuah kerusi rodanya.
Jadi, kami ambil inisiatif dengan kebenaran dari pemilik rumah sewa untuk membaiki agar lebih landai dan mudah untuk kerusi roda keluar dan masuk. Jazakallahu khair kepada pemilik rumah sewa atas kerjasama dan keprihatinan yang sama bagi memudahkan aktiviti seharian asnaf tersebut, alhamdulillah. Moga lepas ini, senang untuk asnaf ini keluar dan masuk, insya Allah.

Program Kebajikan Langkah Utara - Baitul Rahman & DIS

𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐣𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐋𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐡 𝐔𝐭𝐚𝐫𝐚 dilanjutkan ke Pulau Pinang pada 23 September 2024, Ahad semalam. Berlangsung dengan sukses di Dewan Baitul Rahman, Pulau Pinang, hasil kerjasama antara Baitul Rahmah dan DIS, alhamduilillah. Dalam program ini, bantuan makanan asas telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan, termasuk tepung, gula, telur, dan pelbagai keperluan harian lain. YB sangat bersyukur dapat menyaksikan semangat kebersamaan dan keprihatinan semua pihak dalam usaha membantu mereka yang kurang berkemampuan. Dengan kerjasama semua pihak, YB percaya bahawa kita dapat mencipta lebih banyak peluang untuk menyebarkan kebaikan. Jazakumullahu khairan kepada semua yang menyokong dan menjayakan program ini. Mari kita terus berganding bahu untuk membina masyarakat yang lebih prihatin dan berdaya maju dan lebih membangun!

Program Kebajikan Langkah Utara - PIUS

Pada 21 September 2024, Sabtu, 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗷𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗨𝘁𝗮𝗿𝗮 telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama antara Pusat Ihya Us Sunnah yang diketuai oleh Ustaz Zuhdi Haji Hamid. Dalam program ini, bantuan makanan asas telah disampaikan kepada para asnaf yang memerlukan, dengan harapan dapat meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Kami amat berterima kasih kepada Pengerusi Eksekutif YB, Tuan Adi Negara Bin Kamarudin, yang telah mewakili YB dalam menyampaikan bantuan ini. Juga turut terlibat adalah Puan Rosiyah Binti Mat, Ahli Lembaga Pengamanah Yayasan Bushra. Inisiatif ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan kedua belah pihak, tetapi juga menekankan pentingnya kerjasama dalam usaha kebajikan. Kami mengalu-alukan penyertaan organisasi lain untuk berganding bahu dalam menjayakan aktiviti kebajikan ini demi kesejahteraan masyarakat. Jazaakumullahu khairan kepada semua yang terlibat!

Penyampaian Sijil Keputusan Peperiksaan & Hafalan Mutun Tolibil Ilmi

Tahniah diucapkan kepada para pelatih Program Bahasa Arab Pertubuhan Kebajikan Ulil Albab atas pencapaian yang baik dalam ujian hafalan Mutun Tolibil Ilmi oleh Online Learning Programme yang dianjurkan pihak pengurusan The Study Circle of The Islamic Texts Masjid an Nabawi. Doa kami untuk kalian semoga terus berusaha bersungguh-sungguh dengan ikhlas bagi ujian tahahp-tahap yang seterusnya, insya Allah.

Program Ibadah Korban 2024

Alhamdulillah, Program Ibadah Korban bagi tahun 2024 telah pun selamat dilaksanakan dengan baik. Kerjasama Yayasan Bushra dengan Iman Emas Resources untuk tahun yang ke-3 ini, sekali lagi telah membantu Yayasan Bushra sebagai penganjur untuk ibadah korban bersama tuan puan. Walaupun tahun ini jumlah haiwan korban lembu hanya 3 ekor manakala kambing adalah 16 ekor, kami tetap syukur dan akan meneruskan program tahunan ini bagi tahun akan datang, insya Allah.

Majlis Agihan Pek Makanan & Duit Raya 2024

Pada 7 April 2024, bersamaan dengan 27 Ramadan 1445H, telah berlangsung satu program kemuncak yang dilaksanakan pada setiap hujung Ramadan, iaitu Majlis Agihan Pek Makanan & Duit Raya kepada asnaf, pelatih Program Bahasa Arab Yayasan Bushra & pelatih Celik Huffaz Yayasan Bushra.

Agihan Pek Iftar 14 March 2024

Pengagihan pek iftar untuk para penerima yang melibatkan asnaf, fakir, miskin serta pelajar IPTA/IPTS. Kepada yang ada kesukaran untuk hadir, kami hantarkan terus ke pintu rumah mereka, terutamanya asnaf yang ada isu kesihatan.

Agihan Pek Iftar 13 March 2024

Agihan pek iftar pada 13 March 2024 telah berjalan dengan baik dan lancar, alhamdulillah. Hampir ke semua yang telah berdaftar dan memberi nama telah hadir untuk dapatkan pek iftar masing-masing. Harapan kami hanya satu, agak dengan agihan pek iftar ini, serba sedikit dapat mengurangkan bebanan para penerima untuk menyediakan keperluan harian sepanjang Ramadan ini.

Sumbangan Kurma Oleh Gerakan PENA Malaysia

Pada 16 March 2024, bersamaan dengan 5 Ramadan 1445H kami menerima kunjungan sahabat dari Gerakan PENA Malaysia, Saudara Thalhah Mohd Zaki. Beliau menyampaikan sumbangan berupa kurma untuk Yayasan Bushra agih-agihkan, alhamdulillah. Sedikit pengenalan mengenai Gerakan PENA Malaysia. Gerakan PENA Malaysia adalah berasaskan gabungan diantara Revolusi Melayu Baru (RMB) dan Pena Sunnah (PS) pada 5 Disember 2018. Mereka lebih menfokuskan isu-isu dakwah Islam dan sejarah. Malah, mereka turut menyampaikan tarbiyyah melalui penulisan pendidikan umum secara percuma.

Lawatan dari Puan Siti Aishah & Puan Fauziah

Pada asalnya semalam, Puan Siti Aishah & juga Puan Fauziah dari Subang Jaya nak ke Pustaka Bushra - Kedai Buku. Qadarallah, mereka sampai pula ke Pejabat Yayasan Bushra pula ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ. Alhamdulillah, Tuan Adi Negara Al-Bushrawi selaku Pengarah Eksekutif menyantuni mereka dengan menerangkan gerak kerja kami. Terutamanya mengenai dasar-dasar yang menjadi asas kepada setiap aktiviti & program yang dijalankan di sini. Harapan kami agar Puan Siti Aishah & Puan Fauziah dapat sebarkan pengetahuan mereka mengenai kami di tempat mereka supaya lebih ramai akan dapat manfaat. إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ.

Lawatan Puan Asmah Laili & Puan Safiya dari Singapura

Pada 2 Januari lalu, kami menyambut kedatangan Puan Asmah Laili dari Sungai Buloh & Puan Safiya & Puan Hawa dari Singapore. Mereka berhajat nak ziarah Pejabat Yayasan Bushra & juga kami bawa mereka melawat tanah Komplek Yayasan Bushra di Olak Lempit, Banting. Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik. Semoga tetamu yang hadir ke pejabat kami akan lebih memahami dan bersemangat untuk terus bersama dengan kami dalam usaha dasar-dasar kami, إِنْ شَاءَ ٱللَّٰهُ

Majlis Penghargaan Asnaf Cemerlang

Bagi menghargai kesungguhan setiap asnaf yang telah menghadiri Kuliah Ilmu Mingguan setiap minggu, Yayasan Bushra telah menganjurkan Program Sumbangan Kehadiran Kuliah Asnaf semalam. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Sedikit sumbangan telah diserahkan kepada setiap asnaf yang hadir. Semoga mereka akan terus direzekikan kesungguhan untuk hadir setiap minggu demi mencari ilmu agama. بَارَكَ اللهُ فِيْكُم.

Lawatan Ustaz Mohd Asri Ali - Kolej Tingkatan 6, Shah Alam

Yayasan Busrah menerima lawatan dari Ustaz Mohd Asri Ali, dari Kolej Tingkatan 6 Shah Alam pada 1 November 2023 lalu. Beliau merupakan salah seorang pelanggan kepada Pustaka Bushra. Jadi, dah alang-alang kehadiran beliau ke Pustaka Bushra, kami menjemput beliau ke pejabat Yayasan Bushra, memperkenalkan lebih kurang mengenai Yayasan Bushra. Pada peluang yang ada juga, kami dapat bekalkan beli dengan koleksi buku-buku poket YB untuk dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar beliau dari kolej.

Lawatan Yayasan Bushra ke Madrasah Darul Hikmah & Dakwah Unlimited Centre

Pada 6 Disember 2023 lalu, Yayasan Bushra diwakili oleh Tuan Adi Negara Bin Kamarudin selaku Pengarah Eksekutif bersama Ustaz Abd Razak Bin Mohamed, Pengarah Pembangunan Dasar menziarahi Al-Fadhil Ustaz Syed Mohd Azwan Bin Syed Yahya di Madrasah Darul Hikmah dan juga Dakwah Unlimited. Kami ambil kesempatan untuk menyerahkan sedikit buah tangan berupa buku-buku poket dan juga kalendar Yayasan Bushra 2024.

Lawatan MATIQPS

Pasukan Maahad Tahfiz Ilmu Al-Quran (MATIQPs) telah menziarahi Yayasan Bushra pada 26 Ogos 2023. Mereka yang hadir merupakan gabungan anak-anak muda yang bukannya hadir dengan tujuaan meminta derma atau sumbangan. Namun, disebaliknya adalah ingin memohon perkongsian atau tunjuk ajar dalam memantapkan lagi gerak kerja mereka. Kehadiran mereka merupakan titik permulaan untuk kerjasama dan sinergi yang baik untuk masa akan datang.

Agihan Pek Iftar 13 March 2024

Agihan pek iftar pada 13 March 2024 telah berjalan dengan baik dan lancar, alhamdulillah. Hampir ke semua yang telah berdaftar dan memberi nama telah hadir untuk dapatkan pek iftar masing-masing. Harapan kami hanya satu, agak dengan agihan pek iftar ini, serba sedikit dapat mengurangkan bebanan para penerima untuk menyediakan keperluan harian sepanjang Ramadan ini.

Logo YB 2025 - White-17

YAYASAN BUSHRA (1350331-V)
No. 12-2, Jalan Lengkuas D16/D, Taman Ken Rimba, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor.

+603-5523 2832
+6013-969 7944

yayasanbushra2020@gmail.com
yb@yayasanbushra.com

Copyright ©2023 Yayasan Bushra (1350331-V). All Rights Reserved. Developed & Maintained by Mytranspro.