Derma Kilat Kos Pembedahan Encik Zulkifly
Yayasan Bushra (YB) terus komited dalam menyantuni mereka yang diuji dengan pelbagai cabaran kesihatan dan kewangan. Baru-baru ini, YB telah melancarkan kutipan Derma Kilat Kos Pembedahan Penyambungan Usus bagi membantu seorang pesakit, Encik Zulkifly Mohamad, yang memerlukan pembedahan segera dengan anggaran kos melebihi RM24,000.
Alhamdulillah, inisiatif kutipan ini telah mendapat sambutan daripada masyarakat. Setakat laporan ini ditulis, sejumlah sumbangan telah berjaya dikumpulkan, bermula dengan RM2,160 pada peringkat awal dan meningkat kepada RM7,000 hasil keprihatinan para penyumbang yang budiman. Dana yang terkumpul ini akan digunakan bagi menampung sebahagian kos rawatan pembedahan beliau.
Menurut maklumat terkini, Encik Zulkifly telah keluar dari wad baru-baru ini. Sehubungan itu, Yayasan Bushra amat menghargai sokongan semua pihak, sama ada melalui sumbangan kewangan mahupun yang telah menghebahkan maklumat kutipan ini kepada kenalan dan rangkaian masing-masing. Keprihatinan ini membuktikan bahawa masyarakat kita masih utuh dalam mengangkat semangat kebersamaan serta meringankan beban mereka yang sedang diuji. Ini juga dituntut dalam Islam agar kita saling mengambil cakna dan menjaga hak sesama muslim.
“Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang Muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (HR Bukhari: 2262)
YB merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang terlibat. Sesungguhnya, Allah sahajalah yang dapat membalas jasa baik dan keikhlasan anda semua. Pihak Yayasan Bushra akan membuat serahan dana dalam masa terdekat serta terus mengemas kini perkembangan kesihatan Encik Zulkifly dari semasa ke semasa.
Semoga usaha murni ini menjadi asbab keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, serta meringankan bebanan yang ditanggung Encik Zulkifly terutamanya dan keluarga.




