Buku Poket Yayasan Bushra Menjadi Silibus Tazkirah Di Universiti Islam Selangor
4 September 2024, Rabu – Universiti Islam Selangor (UIS) sekali lagi menjadi saksi keprihatinan dan usaha murni Dr. Siti Zaharah Mohid dalam mendidik serta memperkaya ilmu sunnah para pelajarnya. Untuk kali kedua, beliau telah menginfakkan buku-buku poket dari Yayasan Bushra kepada para pelajar, sebagai usaha memperkukuh pemahaman mereka terhadap sunnah dan amalan harian yang berteraskan ajaran Islam. Gambar berikut merupakan gambar infak kali pertama kepada pelajar-pelajar beliau.
Buku-buku poket yang diinfakkan tersebut bertajuk Himpunan 100 Sunnah Nabi صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Pagi & Petang dan Seharian Bersama Basmalah. Kedua-dua buku ini menyentuh aspek kehidupan sehari-hari yang perlu dipenuhi dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. YB melihat inisiatif Dr. Siti Zaharah ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik para pelajar tentang pentingnya mengamalkan sunnah, tetapi juga sebagai langkah praktikal memperkukuh nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian mereka.
Selain menginfakkan buku-buku ini, Dr. Siti Zaharah juga menjadikan kandungan buku-buku tersebut sebagai sebahagian daripada silibus tazkirah dalam sesi pembelajarannya. Dengan cara ini, para pelajar bukan sahaja diberikan bahan bacaan, tetapi juga dibimbing untuk memahami dan mengamalkan isi kandungan buku-buku tersebut secara menyeluruh.
Dalam suasana pendidikan yang semakin mencabar, pendekatan Dr. Siti Zaharah menunjukkan bahawa pendidikan Islam bukan hanya berlegar dalam aspek teori semata-mata, tetapi juga dalam penerapan amalan harian. Melalui infak buku-buku poket ini, YB berharap para pelajar beliau akan terus istiqamah dalam menghidupkan sunnah Nabi صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.
YB berharap inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada para pelajar serta agar mereka dapat melihat pemberian buku-buku ini sebagai satu dorongan untuk terus mendalami ilmu agama dan mengamalkan akidah yang betul dalam kehidupan seharian. Gambar di atas merupakan infak yang terkini daripada Dr. Siti Zaharah Mohid kepada para pelajarnya.
Dengan usaha yang berterusan, Dr. Siti Zaharah Mohid membuktikan bahawa ilmu bukan hanya untuk dipelajari, tetapi juga untuk diamalkan dan disebarkan, sesuai dengan tuntutan Islam agar setiap individu menjadi contoh terbaik dalam masyarakat. Insya Allah.