Bantuan Yuran Pengajian Anak Asnaf ke UiTM
Yayasan Bushra (YB) terus melaksanakan komitmennya dalam menyantuni golongan asnaf yang memerlukan, terutamanya dalam bidang pendidikan. Baru-baru ini, YB menerima permohonan bantuan daripada seorang asnaf di bawah jagaan YB, iaitu Puan Rohaya (bukan nama sebenar), yang memohon pertolongan untuk membiayai yuran pengajian anaknya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam.
Melalui maklumat yang diterima oleh pegawai YB, Puan Rohaya menyatakan bahawa anaknya akan melapor diri di UiTM pada 28 September 2025. Namun, kekangan kewangan yang dihadapi oleh beliau menyebabkan beliau tidak mampu meyediakan yuran pengajian tersebut yang dianggarkan berjumlah sekitar RM700. Pada masa sama, beliau juga menyatakan bahawa waktu pendaftaran tersebut jatuh sebelum tarikh gaji diterima, sekali gus menambah cabaran kepada dirinya.

YB memandang serius perkara ini kerana pendidikan merupakan salah satu kunci utama dalam membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak asnaf. Justeru, usaha untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga seperti Puan Rohaya menjadi salah satu tanggungjawab yang selaras dengan dasar kebajikan YB. Melalui sokongan ini, YB bukan sahaja membantu membayar yuran pengajian, tetapi juga membuka jalan untuk anak-anak asnaf terus melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa terhalang oleh kekangan kewangan.
Yayasan Bushra percaya bahawa setiap anak, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang pendidikan yang sama rata. Dengan adanya bantuan seperti ini, diharapkan anak-anak asnaf mampu menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka dan seterusnya berjaya dalam bidang masing-masing. Sokongan masyarakat juga amat penting untuk memastikan lebih ramai anak-anak asnaf dapat meneruskan cita-cita mereka melalui sumbangan yang disalurkan kepada Yayasan.
Insya Allah, dengan doa dan usaha berterusan, Yayasan Bushra akan terus komited dalam memastikan pendidikan untuk golongan asnaf tidak terpinggir.

