Bantuan Makanan Asas Buat Pakcik Hasim dan Isteri Diteruskan Selama 3 Bulan
Sebelum ini, pihak Yayasan Bushra melalui #TeamKebajikanYB telah menziarahi Pakcik Hasim dan isterinya di Klang bagi menjalankan sesi penilaian dan mengenalpasti keperluan sebenar mereka. Hasil lawatan tersebut, kami mendapati pasangan warga emas ini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kehidupan, khususnya dari sudut kesihatan dan keperluan harian. boleh rujuk di sini.
Pakcik Hasim yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta masalah saraf ringan pada bahagian jari memerlukan perhatian dan sokongan berterusan. Keadaan kesihatan beliau sedikit sebanyak menjejaskan kemampuan untuk menjalani rutin harian seperti biasa. Dalam masa yang sama, isterinya juga merupakan warga emas yang turut memerlukan penjagaan dan sokongan.
Hasil daripada sesi ziarah dan penilaian yang dijalankan sebelum ini, Yayasan Bushra telah membuat keputusan untuk meneruskan bantuan kepada pasangan ini dalam bentuk bantuan makanan asas bulanan. Insya-Allah, bantuan ini akan diagihkan selama tiga bulan bermula April sehingga Jun akan datang bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
Bantuan makanan asas ini merangkumi keperluan harian yang penting seperti beras, minyak masak, tepung, gula, susu dan beberapa barangan dapur lain yang diperlukan oleh keluarga asnaf dan golongan memerlukan. Walaupun mungkin tidak besar nilainya, namun bantuan seperti ini sangat bermakna buat mereka yang sedang diuji dengan kesempitan hidup dan masalah kesihatan.
Usaha menyantuni golongan asnaf, warga emas dan keluarga yang memerlukan seperti Pakcik Hasim merupakan antara komitmen berterusan Yayasan Bushra dalam memastikan kebajikan masyarakat terus dibela. Kami percaya bahawa setiap bantuan yang disalurkan hasil sumbangan orang ramai mampu menjadi asbab kepada kelegaan dan harapan baharu buat penerima manfaat.
Pihak Yayasan Bushra juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang sentiasa menyokong gerak kerja kebajikan kami. Tanpa sokongan daripada masyarakat, usaha membantu golongan yang memerlukan seperti ini tidak dapat diteruskan secara konsisten.
Sekiranya tuan puan ingin bersama-sama membantu Yayasan Bushra meneruskan bantuan makanan asas bulanan kepada para asnaf dan keluarga yang memerlukan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:
YAYASAN BUSHRA
Maybank: 5624 6932 2440
Rujukan: Kebajikan
Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan di dunia serta akhirat.

