8 Golongan Asnaf
Berbeza dengan sedekah biasa atau Sadaqah, golongan yang berhak menerima Zakat dinyatakan di dalam Al-Quran Surah At-Taubah Ayat 60:
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
- FAKIR
- Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50% daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50% daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungannya.
- MISKIN
- Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung keperluan orang-orang tanggungannya.
- FISABILILLAH
- Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
- GHARIMIN
- Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.
- RIQAB
- Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan.
- MUALAF
- Mereka yang dijinakkan hatinya atau yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya).
- AMIL
- Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk urusan pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
- IBNUSSABIL
- Mereka yang terputus bekalan (perbelanjaan) semasa dalam perjalanan (safar) dan orang yang hendak memulakan perjalanan (safar) yang diharuskan oleh syarak.
Sekirangan anda ingin menjadi sebahagian daripada penyumbang di Yayasan Bushra, anda boleh ke halaman infak kami. Semoga setiap dari sumbangan anda menjadi asbab kepada keredhaan Allah.

