Pemangkin Pembangunan Masyarakat
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae
Shpae

Bantuan Keperluan Kesihatan untuk Suami Pesakit Diabetis

Semalam, pasukan Yayasan Bushra sekali lagi turun padang bagi membantu seorang makcik asnaf di bawah pengurusan kami. Makcik ini hubungi kami untuk membantunya mengambil barangan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor disalah satu farmasi yang dilantik Lembaga Zakat Selangor, Kaisar Pharmacy cawangan Seksyen 17, Shah Alam. Bantuan tersebut disediakan khusus untuk suaminya yang menghidap penyakit diabetis atau kencing manis. Atas faktor kesihatan dan keadaan suaminya yang memerlukan pemantauan rapi, makcik ini tidak dapat meninggalkan rumah terlalu lama. Justeru, beliau menghubungi Yayasan Bushra bagi memohon sedikit pertolongan.

Tanpa berlengah, pasukan kami bergegas menguruskan proses pengambilan bantuan tersebut. Pasukan Yayasan Bushra membawa makcik ini ke farmasi terlibat dan semuanya berjalan dengan lancar, terima kasih diucapkan kepada pihak farmasi yang efisyen membantu urusan diantara pihak zakat dan para asnaf. Antara barangan yang diberikan ialah susu gandum serta lampin pakai buang, dua keperluan penting untuk pesakit diabetis yang perlu menjaga pemakanan dan kebersihan secara lebih teliti. Walaupun kelihatan seperti bantuan kecil, namun ia sangat signifikan bagi keluarga ini yang sedang berdepan kekangan kewangan dan keletihan menjaga orang tersayang.

Ketika kami bertemu untuk bergerak ke farmasi, sempat beliau berkongsi sedikit cerita mengenai kondisi terkini suaminya dan bagaimana setiap bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu meringankan beban harian. Walaupun penat, beliau tetap tabah menjaga suaminya—satu pengorbanan yang tidak semua orang mampu lakukan.

Sebagai sebuah organisasi kebajikan, pengalaman seperti ini mengingatkan kami bahawa kerja bantuan bukan sekadar tentang barangan fizikal yang disampaikan. Ia juga tentang sokongan moral, mendengar keluh kesah, dan hadir ketika penerima memerlukan seseorang untuk membantu urusan yang kelihatan kecil, tetapi besar maknanya.

Kami mengajak semua untuk turut mendoakan makcik ini, suaminya, dan semua keluarga yang sedang diuji dengan masalah kesihatan serta kewangan. Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman, kekuatan, kesabaran, dan kesembuhan kepada mereka. Walau apa pun keadaan, kami berharap mereka tetap diberikan keupayaan untuk meneruskan ibadah dan menjalani kehidupan dengan tenang.

Yayasan Bushra akan terus komited membantu asnaf dan golongan rentan agar mereka tidak terpinggir dalam mendapatkan bantuan asas serta perhatian yang mereka perlukan, insya Allah.

Logo YB 2025 - White-17

YAYASAN BUSHRA (1350331-V)
No. 12-2, Jalan Lengkuas D16/D, Taman Ken Rimba, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor.

+603-5523 2832
+6013-969 7944

yayasanbushra2020@gmail.com
yb@yayasanbushra.com

Copyright ©2023 Yayasan Bushra (1350331-V). All Rights Reserved. Developed & Maintained by Mytranspro.